Popular Posts

Sunday, March 20, 2011

MEMILIKI KESEDARAN CINTA ALLAH SWT


Diam sejenak. Tundukkan sedikit kepala dan letakkan tangan kanan di atas dada. Sambil menyebut …ya Allah…(bukan di dalam hati..sebut sehingga terdengar)…dan rasakan rasa cinta kita pada Allah SWT.
Ada rasa atau tidak? Diam lagi….ulangi sehingga benar-benar rasa samada ada rasa cinta atau tidak … dan kemudian mohonlah kepada Allah SWT seperti di bawah.
“ya Allah kurniakan rasa cinta kepadaMu ke dalam hatiku ya Allah. Ya Allah, tiada rasa cinta dalam hatiku ini ya Allah. Kurniakan ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih.”
Ulangi selalu latihan di atas untuk melihat sejauh mana cinta kita pada Allah SWT secara realiti. Ulangi juga untuk melihat sejauh mana cinta kita kepada Rasulullah SAW.
***
Kita sentiasa tahu bahawa kita perlu memiliki rasa cinta pada Allah SWT dan Rasulullah SAW.  Kita juga selalu berasa bahawa cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sudah mencukupi. Lalu kita berasa tidak perlu memeriksa rasa cinta itu dalam jiwa kita. Benarkah rasa itu ada? Sejauh mana rasa itu?
Jika belum, kita selalu mengambil sikap biarlah..tak mahu fikir.
Sesetengahnya juga berpendapat bahawa rasa cinta kepada Allah SWT itu hanya untuk mereka yang banyak ilmu agamanya. Orang-orang kebiasaan seperti kita ini yang kurang ilmu agama sukar untuk memiliki rasa cinta itu.
Sebenarnya semua itu alasan dan dakyah atau tipu helah pemikiran yang telah tertanam kuat dalam fikiran kita. Kita perlu hapuskan pemikiran seperti ini di dalam fikiran kita serta orang-orang sekeliling kita.
Cinta merupakan satu kuasa yang terhebat sehinggakan manusia sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Cinta memberikan semangat yang luar biasa kepada kita di dalam melakukan apa sahaja perkara.
Islam itu hebat namun jika dilihat daripada kehebatan penganutnya, islam itu seolah-olah mundur kerana kemunduran penganutnya. Mengapa? Kerana rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam jiwa umat islam telah berjaya dipesong oleh musuh-musuh kita.
Kita lebih mudah jatuh cinta dengan duit, harta benda, pangkat, rupa dan hiburan yang melalaikan. Mudah jatuh cinta dengan maksiat dan kehinaan. Mengapa terlalu sukar untuk melakukan kebaikan berbanding melakukan keburukan? Mengapa lebih mudah jatuh cinta dengan hiburan, maksiat dan seumpamanya dan terlalu sukar untuk jatuh cinta kepada kebaikan?
Kerana kita tidak pernah atau jarang sekali memohon kepada Allah SWT untuk memiliki rasa cinta kepadaNya dan RasulNya. Sesiapa sahaja tanpa mengira ilmu, rupa, pangkat, harta dan sebagainya berhak memiliki rasa cinta kepada Allah SWT dan RasulNya. Tugas kita hanyalah memohon dan urusan pemberian rasa cinta itu adalah Hak Allah SWT.
Marilah kita cuba periksa dalam keadaan sedar samada benarkah kita benar-benar merasai rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW itu? Dengan latihan di atas, kita mampu memeriksa sejauh mana cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Berdoalah memohon kepada Allah SWT rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasululullah SAW:
ya Allah, kurniakanlah aku rasa cinta kepadaMu dan kepada Rasulullah SAW ya Allah. Aku ingin benar-benar merasakan rasa cinta itu ya Allah. Agar aku mampu dan terdaya untuk sentiasa berada dekat denganMu ya Allah. Terima kasih Allah, terima kasih.

Serahkan Kepada ALLAh Setelah Berusaha

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Letakkan harapan kepada ALLAh. Bukan pada usaha kalian!
Bergantung harap antara usaha dan ALLAh!
Untuk mendapat sesuatu yang memuaskan hati ialah dengan cara berusaha bersungguh-sungguh. Sebagai contoh, untuk mendapat gelaran pelajar terbaik, maka seorang pelajar itu harus mengorbankan banyak keselesaan diri demi sebuah kejayaan.
Itu memang normal.
Namun kita sebagai manusia, seringkali lupa bahawa berjayanya kita dengan usaha kita itu semuanya dari ALLAh. Seringkali kita mengharapkan kejayaan kita dengan menyandarkan harapan pada usaha yang kita buat, tapi tidak kepada ALLAh SWT yang memegang kejayaan dan kegagalan manusia.
Sandarkan Harapan Kamu Kepada ALLAh
Saya pernah mengadu kepada salah seorang guru saya akibat tekanan perasaan yang bercampur gaul; takut gagal, takut menjadi fitnah kepada Islam, takut mengecewakan kedua orang tua, takut mengecewakan guru-guru. Masa tu, sedikit kesuraman terpapar diwajah saya. Terbelenggu!
Dan kalam yang meluncur keluar dari bibir guru saya adalah,
“Kamu jangan sandarkan harapan pada usaha kamu. Memanglah jiwa kamu tu menjadi sempit. Cuba sandarkan harapan kepada ALLAh SWT, inshaALLAh, ALLAh lapangkan dan tenangkan jiwa kamu tu..”
Kalam guru saya itu, ada benarnya. Dan saya sedikit terpukul malu.
Manusia yang faham tentang hakikat kehambaan diri dan kekuasaan ALLAh dalam melakukan sesuatu sesuai perintahnya akan bekerja dan berusaha sedaya upayanya akan merasa ketenangan kerana dia mengetahui bahawa pekerjaan itu hanyalah satu perintah untuk dia yang ALLAh SWT telah gariskan.
Tugasnya adalah berusaha dan berusaha, selepas itu berdoa. Dan untuk memastikan hasilnya menjadi mantop, bukanlah tugas manusia. Kerana yang menentukan hasilnya adalah ALLAh SWT. Maka, sepatutnya, pengharapan jaminan kejayaan dan hasilnya itu harus dipaksikan kepada ALLAh SWT.
Jika benar-benar manusia menyandarkan harapan kepada-Nya, maka dia tidak akan kecewa setelah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi akhirnya dia ditakdirkan gagal. Dia akan cuba untuk tidak bersedih dan berputus asa, kerana dia tahu bahawa itu adalah takdir ALLAh SWT. ALLAh cuma memberikan kejayaan yang tertangguh!
Tiada yang perlu disedihkan, apatah lagi berputus asa dengan hidup.
Saya juga tahu, tidak mudah untuk mendidik diri. Dan untuk itu, kita semua memerlukan usaha dan usaha. Agar apabila kegagalan menyapa hidup, kita tidak terduduk longlai begitu sahaja. Kegagalan itu adalah kejayaan yang ditangguhkan!
Kegagalan itu adalah lumrah hidup. Namun, biarlah kegagalan yang bermaruah!
ALLAh Akan Berikan Apa Yang Manusia Usahakan
Ada seorang kawan pernah berkata, dan masa itu, saya maklum, jiwanya masih kacau kerana gagal dalam salah satu perkara yang dia lakukan.
“Saya minta ampun dengan ALLAh atas kata-kata saya ni. Tapi, sekarang ni, saya terasa ALLAh tak adil untuk balas segala usaha saya..”
MashaALLAh. Ujian buat dirinya.
ALLAh punya perancangan terbaik buat hamba-Nya. Dan ALLAh Maha Adil akan tiap-tiap sesuatu. Tiada satu benda pun yang akan terlepas dari pengadilan ALLAh SWT.
Setiap apa yang manusia usahakan, maka kesudahannya, apa yang manusia dapat memang sesuai dengan usaha manusia itu sendiri.
Tetapi kenapa ALLAh beri kegagalan pada orang yang berusaha sungguh-sungguh?
Ini kerana ALLAh punya perancangan yang terbaik buat anda. Mungkin saja ALLAh sudah sediakan imbalan usaha anda itu dengan sesuatu yang lain. Yang dimana, apa yang ALLAh telah sediakan itu kita langsung tidak sedari sehinggalah kita mendapatkannya.
Sama seperti usaha anda. Telah menjadi sunnatullah, jika anda seorang yang rajin, maka sepatutnya kejayaan milik anda. Jika anda malas, maka tidak hairanlah kegagalan itu menghampiri anda. Tapi, satu hal yang perlu anda ingat adalah, walau bagaimanapun, ketetapan akhirnya tetap ada pada ALLAh SWT dan menjadi rahsia ALLAh SWT.
Sebab itu, jangan kecewa seandainya anda sudah berusaha sehingga tidur tidak cukup, tetapi akhirnya usaha anda itu akhirnya mendapat kegagalan. Kerana ALLAh memang punya perancangan terbaik.
ALLAh Maha Adil. Dan ALLAh berikan kepada hamba-Nya selayaknya!
Kata guru saya, hasil daripada usaha itu, boleh jadi ALLAh simpan dan akan memberikannya kepada anda bila tiba masanya anda berhak untuk mendapatkannya.
“Dan sesungguhnya kepada masing-masing pasti Tuhanmu akan menyempurnakan dengan cukup pekerjaan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.” – Hud : 111
Subhanallah!
Mengubati Jiwa Dengan Tawakkal
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAh dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada ALLAh. Sesungguhnya ALLAh Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” – al Hasyr : 18
Sebenarnya, jika anda membaca entri panjang ini, hehe. Anda akan menyedari bahawa memang perlu ada sikap bertawakkal yakni berserah diri apabila berhadapan dengan keputusan yang bukan seperti kita inginkan.
Banyak cara untuk mengubati hati. Jika anda melihat sejarah-sejarah yang tercatat dalam al-Quran, yang dimana ALLAh menguji mereka jauh lebih dahsyat daripada kita padahal mereka itu orang-orang yang kuat dan sentiasa mendekatkan diri kepada ALLAh.
Semua itu tidak lain tidak bukan, hanyalah sedikit jentikan daripada ALLAh untuk menguji!
ALLAh tidak zalim! Tetapi ALLAh Maha Pengasih. . . Sekali lagi, kerana ALLAh tahu apa yang terbaik buat diri manusia, maka ALLAh menetap seperti ini dan itu yang kadang kala tidak mengikut seperti apa yang manusia inginkan.
“…Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. ALLAh mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – al Baqarah : 216
Subhanallah! Tidak terubatkah hati apabila membaca kalam dari ALLAh ini?
Dan ini membuktikan, bahawa manusia ini tidak punya apa-apa melainkan apa yang telah ALLAh izinkan dan berikan. Manusia sikit pun tidak berhak bermegah-megah dengan kelebihan dan usaha diri sendiri, kerana akhirnya semuanya akan kembali kepada ALLAh. Kerana memang itulah hakikatnya.
Di dunia, semuanya pinjaman. Akan ditarik bila-bila ALLAh inginkan.
Saya di sini, masih mendidik diri yang serba kekurangan. Entri ini, ditujukan lebih kepada diri sendiri. Semoga saya jadi lebih kuat berhadapan dengan realiti hidup. Mohon doa sesama kita (pembaca yang pendiam dan yang selalu menyapa), ingatlah muslimin wal muslimat dalam doa kalian.
Kita semua saling memerlukan dan melengkapi.
Saya sedang senyum di sini. Moga-moga saya akur dengan perancangan Ilahi.
Saya perlu lebih belajar untuk bermujahadah lagi!
Semoga ALLAh merahmat
diambil dari Cinta Ilahi dot Com